PROFIL SEKOLAH

SEJARAH SEKOLAH

       Pada tahun 1964, sebuah sekolah ditubuhkan di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan dan dikenali dengan nama Sekolah Menengah Lanjutan Kampong dan kemudiannya ditukar nama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Empat.  Pada masa itu juga merupakan sekolah yang ditumpang oleh sekolah Inggeris iaitu Sekolah Menengah Methodist, Nibong Tebal.    

Bilangan blok bangunan ketika itu ialah sebanyak 2 blok bangunan setingkat yang menempatkan tiga kelas tingkatan 3 dan tiga kelas tingkatan 2 aliran   sastera.  Setiap kelas mempunyai pelajar seramai lebih kurang 20 orang sahaja.  Populasi pelajar hanya berjumlah 262 orang  dan jumlah guru pada masa itu ialah seramai 10 orang sahaja.  Pada tahun1965 barulah dimulakan tiga kelas tingkatan satu aliran sains dan sastera.  Kelas tingkatan 1 diadakan pada sebelah petang. 

Nama pengetua pada masa itu ialah Encik Razikin bin Omar.  Sekolah ini dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu, iaitu Tuan Mohamad Khir Johari Al-Haj pada 20 Jun 1966. 
Antara tahun 1966 hingga 1970, terdapat dua aliran di sekolah ini, iaitu aliran Melayu dan Inggeris, di bawah dua pentadbiran yang berasingan dengan dua orang pengetua.  Sekolah aliran Inggeris ditubuhkan pada 1966 dan dinamakan Simpang Empat National Type English Secondary School yang diadakan pada sebelah petang.  Nama pengetuanya ialah Encik Ng Swee Chai.  Sekolah aliran Inggeris menggunakan 2 blok bangunan setingkat yang asalnya digunakan oleh pelajar-pelajar aliran Melayu.  Sementara itu, pelajar aliran Melayu di tempatkan di tiga blok bangunan bata merah yang baru siap dibina.

Pada tahun 1971, kedua-dua aliran ini disatukan di bawah satu pentadbiran dengan seorang pengetua sahaja dan ditukar nama menjadi Sekolah Menengah Simpang Empat.  Pengetua sekolah aliran Inggeris, iaitu Encik Ng Swee Chai, telah berpindah ke Sekolah Menengah Barakbah.  Kemudiannya, pada masa sekarang sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Empat (SMKSE).

Pada tahun 1967, dua buah rumah guru dibina di kawasan sekolah.  Rumah guru yang diperbuat daripada papan itu pernah digunakan sebagai asrama kepada pelajar-pelajar yang tinggal jauh dari sekolah yang sukar berulang-alik ke sekolah.

Pada tahun 1990-an, SMKSE mengalami banyak perubahan terutama dari segi bilangan blok bangunannya.  Antara blok bangunan yang siap dibina ialah blok pejabat yang ada sekarang.  Blok ini merupakan bangunan 3 tingkat yang sekarang ini menempatkan 2 bilik guru, pejabat, bilik Bahasa Melayu, bilik Pendidikan Islam dan 5 buah bilik darjah.

Sebuah surau telah siap dibina pada sekitar tahun 1990.  Sebuah kantin baru juga siap dibina dan digunakan pada tahun 1991.  Kantin lama yang sebelum ini didirikan auditorium kini telah digantikan dengan blok bangunan baru 4 tingkat.

Dua buah asrama telah siap dibina pada sekitar 1994, iaitu Asrama Putera untuk pelajar lelaki dan Asrama Puteri untuk pelajar perempuan.  Satu blok bangunan yang dahulunya digunakan sebagai makmal sains telah dijadikan Rumah Media dan Galeri Seni.


Turut  dibina ialah sebuah gelanggang tennis dan dua buah rumah guru yang terletak di tepi padang.  Dua buah rumah guru ini mula didiami pada tahun 1996.  Sebuah stor sukan dibina di tepi padang pada tahun 1999.

Kini, terdapat 12 blok bangunan di SMKSE yang ditandakan dengan abjad A hingga L.  Sejak tahun 2000 hingga 2004, terdapat beberapa blok bangunan tambahan telah dibina.  Antaranya ialah dua blok bangunan 4 tingkat yang dibina di atas tapak 2 blok bangunan setingkat yang telah dirobohkan pada tahun 2000.  Dua blok bangunan 4 tingkat ini siap dibina pada tahun 2003 dan menempatkan kelas tingkatan 6, tingkatan 5 dan tingkatan 4, bilik Katering dan Penyajian, Makmal Sains, bilik Peperiksaan, bilik Kaunseling, bilik Gerakan, Koperasi, bilik BOSS, Bilik Gerakan, Bilik Perkembangan Staf, Bilik Sejarah, Bilik Geografi dan sebuah Dewan Terbuka.  Pada tahun 2016, terdapat sedikit perubahan lokasi pada Bilik Peperiksaan dimana bilik ini bertukar lokasi dengan Bilik Matematik selari dengan kepentingannya mengurus dan mentadbir peperiksaan dalaman dan PT3.
Kemudiannya, dua buah Makmal Komputer telah siap dibina sekitar tahun 2001 dan telah siap sepenuhnya pada tahun 2002.  Makmal ini dilengkapi dengan 40 buah komputer.  Makmal ini pernah digunakan sebagai tempat mesyuarat guru sementara menunggu Bilik Gerakan disiapkan.  Makmal ini juga telah menerima sebanyak 40 buah netbook sekitar tahun 2014 sebagai kegunaan murid dan guru menggunakan aplikasi frog VLE dalam pembelajaran.

Pintu pagar sekolah juga telah dibaiki dan ciri-ciri keselamatan telah dipertingkatkan.  Dua pondok pengawal dibina di kedua-dua pintu pagar sekolah.  Sebuah pondok menunggu dibina bersebelahan pondok pengawal di pintu masuk pagar sekolah.

SMKSE menggunakan sistem kehadiran berkomputer sejak bulan Januari 2002.  Semua guru dan kakitangan sekolah dikehendaki ‘key-in’ nama ketika hadir bekerja.  Kini, SMKSE turut dilengkapi dengan beberapa bilik khas seperti bilik Matematik, bilik Bahasa Melayu, bilik Pendidikan Islam, bilik Sejarah, bilik Geografi, Galeri Arkib, bilik SAL dan sebuah pusat sumber yang dilengkapi dengan bilik Tayangan.

Pengetua-pengetua yang pernah berkhidmat di SMKSE adalah:
§  Encik Razikin bin Omar (1962 – 1970)
§  Encik Megat Hashim bin Megat (1971 – 1979)
§  Tuan Haji Ahmad Sabki bin Abu Taif (1979 – 1982)
§  Tuan Syed Idrus bin Syed Ahmad (1982 – 1987)
§  Tuan Haji Abdul Karim bin Ismail (1988 – 1993)
§  Tuan Haji Abdullah bin Abdul Rahman (1993 – 2000)
§  Tuan Haji Abu Hassan bin Yahaya (2000 – 2006)
§  Encik Mohd Yusof bin Ayob (2006-2008)
§  Tuan Haji Abdul Aziz bin Yusof (2008-2010)
§  Hajah Zainab binti Shafiee (2010-2015)
§  En. Zainal Abidin bin Jaffar (2015 sehingga kini)

Terkini pada tahun 2016, SMK Simpang Empat memiliki seramai 122 orang guru dan 15 staf sokongan 

No comments:

Post a Comment